Nik Nur
Selepas penat lelah dengan majlis pertunangan saya, kami bersiap sedia pula untuk ke Kuala Lumpur. Adik saya, Akin akan melanjutkan pengajian nya ke Yaman pada 17 Julai 2010. Alhamdulillah, sedari kecil umi dan aba sentiasa memilih aliran agama untuk setiap anak-anak nya. Kami 7 beradik,semua bermula dari PASTI, kemudian ke sekolah rendah biasa, cuma Irah jer yang berpeluang belajar di sekolah rendah islam. Masuk ke alam menengah, kesemua kami dihantar ke sekolah agama, samada SMKA atau sekolah agama rakyat/ maahad. Bukan terpaksa, malahan kami sendiri yang memilih untuk ke sekolah agama.

Walaupun semua menamatkan tingkatan 5 di sekolah agama, tapi tiada seorang pun (dari saya hingga ke Ojak) yang memilih untuk mendalami agama hingga ke universiti. Saya memilih untuk belajar engineering, Ana memilih untuk belajar matematik (akhir nya kerja dalam bidang engineering juga!) dan Ojak juga memilih engineering (genetic). Alhamdulillah, umi dan aba tidak pernah menyekat minat kami. Cuma Akin, dari selepas PMR Akin tidak cenderung ke arah sains dan matematik. Pada mula nya kami agak keberatan bila Akin membuat keputusan untuk tidak mengambil subjek Matematik Tambahan untuk SPM dan memilih untuk mengikuti kelas perdagangan. Bila difikirkan semula, kenapa nak memaksa Akin belajar sesuatu yang dia sendiri tidak suka. Dia tidak mahu bekerja di bidang sains dan teknologi, jadi untuk apa memaksa dia belajar Fizik, Kimia dan Biologi serta Add Math. Dia tetap boleh berjaya, dengan cara dia sendiri.

Tanggungjawab

Teringat kata-kata Akin, "Dale rama-rama adik-beradik, Allah pilih Akin untuk belajar agamo, Akin pege tanggungjawab besar, insyaAllah untuk bimbing keluarga sendiri". Yer, Allah pilih Akin. Untuk belajar agama dan berada jauh dari kami. Saya juga teringat kata-kata Ustaz Hasrizal, kalau boleh dalam setiap keluarga, mesti ada sekurang-kurang nya seorang yang belajar agama (baca mendalami agama). Kerana itu kami bangga, dalam keluarga kami, ada seorang yang betul-betul bersungguh untuk belajar agama. Bukan bererti yang lain tidak mahu belajar agama, tetapi kami rebut peluang lain sedang Akin menongkah arus dan lari dari kebiasaan remaja lain.

Tanggungjawab ini besar, dengan menggalas harapan keluarga, jerih perih umi dan aba, sokongan adik-beradik dan sokongan kewangan kami kepada Akin. Ini juga satu jihad untuk Akin.

Jauh

Akin memilih Yaman, tempat yang dari segi fizikal nya tidak seperti bandar-bandar di Malaysia, bandar kecil Sana'a, suasana nya mungkin suram, diperintah tentera dan pelbagai lagi kekurangan lain. Saya dengar dari pengalaman Affan (sepupu yang pernah pergi ke Yaman), disana elektrik juga di catu, dalam sehari mungkin 4 jam tanpa elektrik. Sedar tentang segala kekurangan itu, namun masih lagi Akin bersemangat untuk pergi kesana.

Akin boleh saja belajar di universiti tempatan, malahan Akin mendapat tawaran dari USIM untuk belajar fiqh dan fatwa. Tetapi Akin tetap memilih Yaman. Di sana, ramai ulamak-ulamak besar, syeikh-syeikh hebat dalam bidang masing-masing untuk bertalaqqi. Suasana itu yang dirindu Akin.

Pergi lah Akin, kami di sini bangga denganmu. Kejarlah ilmu itu, pulang nanti dengan ilmu di dada, membimbing keluarga dan bangsa. Ketepikan kekurangan, ketepikan seketika rindu pada keluarga, kita mungkin tidak berjumpa dalam jangkamasa yang lama, tapi kasih sayang kami tetap bersama mu.

Selamat berjuang adikku...


Labels: | edit post
0 Responses

Post a Comment

Pages